ISU ISU KEPRIHATINAN NEGARA
Kepekaan terhadap isu mendorong usaha diambil ringankan beban ummah tertindas
BARU-baru ini masyarakat Islam dikejutkan dengan peristiwa serangan tentera Israel terhadap kapal yang membawa bantuan kemanusiaan ke wilayah Gaza, Palestin. Akibatnya, pertumpahan darah dan kecederaan berlaku kepada sebahagian sukarelawan yang menyertai misi itu. Tragedi ini adalah antara sebahagian isu utama dalam dunia Islam hari ini. Sesungguhnya, ia harus menjadi subjek keprihatinan seluruh masyarakat Islam terutama generasi muda dan belia Islam. Seperti kita sedia maklum, persoalan penjajahan bumi Palestin oleh Israel sudah berlarutan hampir lebih 50 tahun.
Hingga hari ini, jalan penyelesaian terhadap persoalan ini masih buntu. Beberapa usaha damai sebelum ini tidak mencapai penghujung. Umat Islam kini amat kecewa. Di samping isu penjajahan bumi Palestin ini, beberapa negara Islam lain juga masih bergelut dengan pelbagai permasalahan. Masyarakat Islam masih berdepan kemelut perseteruan antaranya di Chechnya, Kashmir, Mindanao dan Pattani di Selatan Thailand. Di Somalia pula masih bergelut dengan permusuhan dalaman yang tidak berkesudahan.
Semua ini adalah antara sebahagian isu semasa yang sedang dihadapi dunia Islam hari ini yang menuntut keprihatinan kita semua. Kita patut bersyukur melihat semangat kepekaan masyarakat Islam di negara ini terhadap persoalan penjajahan bumi Palestin dan penderitaan umat Islam di sana. Kepekaan yang tinggi ini memungkinkan banyak daya usaha dapat kita lakukan bagi membantu meringankan beban kehidupan yang ditanggung oleh mereka. Di dalam kita meningkatkan tahap kepekaan dan keprihatinan mengenai permasalahan Palestin, kita juga perlu, pada masa sama memulakan usaha kita untuk mendalami kefahaman kita dan meningkatkan keprihatinan kita juga terhadap isu di beberapa negara di dunia Islam lain.
Dengan meningkatkan keprihatinan kita mengenai isu-isu ini, ia akan membantu kita di dalam memahami permasalahan dunia Islam secara keseluruhan. Pada pandangan saya, kefahaman secara menyeluruh mengenai isu dunia Islam ini penting kerana ia akan memandu daya usaha kita secara lebih strategik di dalam menyumbang kepada penyelesaian terhadap semua permasalahan dan cabaran yang didepani.
Secara umumnya, sumbangan penyelesaian kita terhadap permasalahan dunia Islam ini boleh dipecahkan kepada dua pendekatan iaitu menerusi penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang. Penyelesaian bersifat jangka pendek perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Usaha mengirim bantuan kemanusiaan yang dijayakan oleh pertubuhan seperti Lifeline4Gaza dan Pertubuhan Yayasan Perdana Misi Kemanusiaan adalah antara contoh yang patut diberi pujian dan dokongan.
Usaha lain yang perlu diteruskan ialah langkah memberi tekanan dari sudut perundangan antarabangsa, memperluaskan rangkaian pendukung dan sukarelawan di kalangan masyarakat Islam dan antarabangsa serta memperhebatkan kempen kesedaran masyarakat awam mengenai pelbagai permasalahan yang sedang berlaku.
Selepas ini, daya usaha itu perlu diperluaskan kepada negara Islam lain yang juga sedang berdepan pelbagai masalah. Di samping penyelesaian jangka pendek ini, kita juga perlu menumpukan usaha kita di dalam memberi penyelesaian bersifat jangka panjang. Pada saya, permasalahan yang sedang dialami dunia Islam hari ini perlu ditangani menerusi pendekatan peradaban.
Ini bermaksud, penyelesaian mengenai isu ini harus didepani secara berkumpulan oleh seluruh negara Islam yang mewakili sebuah peradaban besar dan tersendiri. Penyelesaiannya tidak boleh ditangani secara khusus oleh beberapa negara Islam tertentu saja. Penyelesaian menerusi pendekatan ini menuntut persediaan yang pelbagai dan bersifat menyeluruh. Bagi umat Islam, harapan mereka banyak tergantung kepada Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) sebagai organisasi induk mewakili seluruh dunia dan peradaban Islam. Pada saya, OIC masih menjadi organisasi paling strategik dan ideal bagi menjalankan cita-cita dan harapan ini.
Namun, sebagaimana kita semua ketahui, untuk setakat hari ini, OIC sebagai sebuah pertubuhan yang mewakili seluruh dunia Islam masih belum mampu berfungsi sehingga tahap yang paling maksimum di dalam menyelesaikan permasalahan dunia Islam hari ini.
Keadaan ini terjadi kerana pelbagai hambatan dan kekangan organisasi itu sendiri selain kepemimpinan yang harus ditangani terlebih dulu. Sekiranya demikian keadaannya, maka kita semua perlu memberi tumpuan di dalam menyumbang ke arah peningkatan keupayaan pertubuhan ini. Usaha pengupayaan ini harus dimulakan dengan langkah mengenal pasti hambatan yang didepani oleh OIC terutama daripada aspek kecekapan dan keberkesanan.
Sebagaimana tabiat organisasi manusia yang lain, pada saya, tumpuan proses pengupayaan harus dimulakan dengan memperkenalkan satu model organisasi yang sesuai dengan realiti dunia Islam semasa, menampilkan barisan kepemimpinan pertubuhan yang berkesan dan diyakini, merangka perancangan jelas dan menyeluruh serta meningkatkan tahap kerjasama serta permuafakatan di dalam pelbagai bidang.
Dalam hal ini, peranan negara Malaysia perlu lebih ke hadapan dalam usaha pengupayaan pertubuhan berkenaan. Ini kerana faktor sumber daya manusia yang kita miliki serta sikap masyarakat yang berpandangan positif terhadap masa depan. Kedua aspek ini adalah asas penting dalam menjayakan sebuah organisasi dunia seperti OIC yang amat kompleks dari segi perwatakan dan perwakilannya. Menerusi pendekatan jangka pendek dan panjang yang disusun secara teratur dan dilaksanakan secara berhikmah, kita yakin akan dapat menyumbang kepada penyelesaian pemasalahan dunia Islam semasa pada hari ini secara keseluruhan dan berkekalan.
Penulis ialah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
Sumber: http://www2.bharian.com.my/articles/KemelutduniaIslamperluditangani/Article/
ULASAN
Hubungan antarabangsa bagi negara Malaysia bukanlah suatau perkara yang baharu kerana Tanah Melayu telahpun mengadakan hubungan yang baik dengan beberapa buah negara pada masa dahulu seperti China, India, Timur Tengah, Jepun dan sebagainya. Setiap negara mempunyai kelebihan tersendiri justeru itu Malaysia perlu bijak mengatur strategi bagi memastikan setiap hubungan luar negara memberi faedah kepada pembangunan negara
No comments:
Post a Comment